FAQs


1. What is the RRG?

RRG is the acronym for the Religious Rehabilitation Group.
 

2. Who are in the RRG?
The RRG consists of local Singaporean ‘Ulama (religious scholars) and Asatizah (religious teachers) who volunteer their services to counsel detainees to assist them in understanding their religion correctly.

View all

Vinaora Nivo SliderVinaora Nivo SliderVinaora Nivo SliderVinaora Nivo SliderVinaora Nivo Slider
IMEJ MUSLIM

 

 

ANDAI kini anda berada dalam satu pertemuan di kalangan bukan Islam, mungkin ada yang bertanyakan diri anda.  Apakah yang ada dalam benak bukan Islam ketika mengetahui anda seorang Muslim iaitu seperlima penduduk jagat (sekitar 1.2 bilion jiwa).

 

Dalam pelbagai tinjauan di Amerika Syarikat dan Barat, umumnya tanggapan yang timbul mengenai imej Muslim adalah seperti berikut:

• Pertama, ia mungkin seorang yang agak tertutup fikirannya

• Kedua, ia mempunyai kedudukan ekonomi yang lemah.

• Ketiga, ia mungkin seorang pengganas atau teroris.

 

 

Mengapakah tanggapan ini timbul?

 

PANDANGAN DUNIA

 

Ia bermula pada 11 September 2001. Dunia amat terkejut apabila empat pesawat udara penumpang dirampas. Dua pesawat dipesongkan untuk melanggar Menara Kembar WTC New York dan sebuah lagi ke atas Bangunan Pentagon Washington. Tetapi sebuah pesawat udara telah dapat dipintas dalam perjalanan ke arah Rumah Putih, jantung kuasa politik Amerika Syarikat.

 

Siasatan menunjukkan tindakan nekad itu dilakukan oleh 19 orang berketurunan Arab, termasuk 15 warga Arab Saudi.  Sejak itu pentadbiran George W Bush telah melancarkan perang ke atas pengganasan. Meskipun tidak menyebut secara khusus, strategi itu ditujukan kepada Islam. Serangan tentera Amerika ditujukan ke negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq sehinggalah ke kawasan rawan gerakan pemisah Muslim di rantau Moro Filipina.

 

Peristiwa 9/11 serta-merta mencemar imej Arab dan Islam yang ditempelkan dengan profil pengganas.  Dalang operasi mengantarabangsakan serangan ke atas kepentingan Barat, khususnya Amerika dan Israel ialah al-Qaeda, sebuah badan yang diketuai oleh bekas warga Saudi, Osama bin Laden.

 

Dalam rentetan siaran pita videonya, Osama mengakui matlamat tindakannya itu ialah untuk membebaskan Arab Saudi atau tanah suci Islam dari kehadiran Barat dan membela umat Islam yang tertindas, termasuk isu Palestin yang dirampas tanahnya oleh Israel.  Memang sebelum peristiwa 9/11 itu, media Barat telah lama menonjol-nonjolkan muda-mudi di Timur-Tengah, yang rela meledakkan diri bersama bom di tempat awam di Israel atau kota-kota tertentu.  Namun tidak diduga sama sekali bahawa tindakan dahsyat dapat berlaku ke atas Amerika Syarikat, sebuah kuasa besar tunggal yang perkasa dan sekian lama dianggap ‘terlindung’ daripada ancaman pengganasan.

 

Sejak itu kian terdedahlah senarai badan pengganas dunia, tiga suku daripadanya dikaitkan dengan Islam dan Arab, meskipun telah terkenal sebelumnya badan-badan pengganas yang lain, seperti The Red Army (Jepun) dan sebagainya. Imej muda-mudi Islam bertindak sebagai pengebom nekad (suicidal bomber) dihebahkan ke seluruh dunia.  Sejak 9/11 hubungan Islam dengan Barat amat keruh. Mentelah Amerika kian menguasai Timur-Tengah dengan mengalahkan rejim Saddam, selepas menundukkan Afghanistan.  Walaupun kian dilemahkan di beberapa negara Timur-Tengah, namun rangkaian al-Qaeda masih terus cergas. Ini termasuklah mengebom kawasan kediaman penduduk ekspatriat Barat di Riyadh dan beberapa kota Arab Saudi.

 

 

DISKRIMINASI DAN TEKANAN

 

Paling terjejas oleh kesan 9/11 ialah minoriti Muslim Amerika Utara --  sekitar 6 juta jiwa -- 4 juta  di Amerika Syarikat dan selebihnya di Canada.  Ketaatan warga Muslim Amerika kian disangsikan. Ia diperburukkan lagi dengan kemunculan beberapa undang-undang digubal dan peraturan untuk menyiasat dan menahan, tanpa izin mahkamah, ke atas orang yang disyaki pengganas atau ada kaitan dengan pengganasan.  Malah di Amerika Syarikat, Majlis Hubungan Amerika Islam (Cair) telah melaporkan tinjauannya sejak selepas peristiwa 9/11 sehingga Jun 2003, bahawa kian bertambah diskriminasi dan jenayah benci kaum ke atas umat Islam.  Nasib serupa dialami oleh umat Islam minoriti di banyak negara Barat seperti Eropah dan juga Australia.

 

Yang amat membimbangkan ialah kesan kegiatan pengganasan dengan label Islam terus meluas sehingga ke Asia Tenggara, khususnya Indonesia yang menyaksikan beberapa kejadian pengeboman.

 

Pulau Bali dihuni oleh majoriti Hindu.  Imejnya sebagai ‘syurga wisata’  digegar bom pada 12 Oktober 2002. Ketika buku ini ditulis, para pengebom Bali yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI) sedang dibicarakan. Muslim minoriti di Bali telah menjadi sasaran majoriti Hindu.

 

[Pendedahan mengenai JI bermula di Singapura pada awal tahun 2002. Kesemuanya 36 orang anggota JI diberkas dalam dua operasi berasingan. Pemerintah Singapura telah mengeluarkan Kertas Putih mengenai kegiatan JI yang antara lain merancang untuk mengebom tempat-tempat awam, khususnya yang sering dikunjungi warga Amerika, termasuk askarnya. Malah menara Lapangan Terbang Changi turut menjadi sasaran mereka.  Singapura menjadi pilihan JI kerana keeratannya dengan kepentingan Amerika atau Barat di Asia Tenggara.]   Kesan ledakan bom di negara kota raya ini boleh melemahkan keyakinan antarabangsa, terutama pelaburan dan kunjungan orang Barat ke rantau ini.

 

Pemerintah Singapura melaporkan bahawa ia menerima maklum balas mengenai JI apabila sebuah pita yang merakam tempat-tempat di Singapura ditemui di Kandahar. Ia ditemui oleh askar Amerika yang menggeledah saki baki Taliban selepas Afghanistan jatuh ke tangan Amerika Syarikat pada akhir tahun 2001.  Asia Tenggara, kawasan paling ramai umat Islam (suku ummah), dikhuatiri menjadi medan baru gerakan pengganas, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Malah krisis di Maluku Selatan menyaksikan adu kekuatan antara gerila Kristian yang cuba membentuk Republik Maluku Selatan. Namun kemaraannya dihalang hebat oleh Laskar Jihad yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

 

Pendedahan demi pendedahan menunjukkan al-Qaeda sudah membina semacam rangkaian antarabangsa yang amat teguh dengan turut melatih para pemimpin JI. Impian JI ialah sebuah Daulat Islamiyah di Asia Tenggara. Ia telah merancang visi ini bersama-sama gerakan pemisah Muslim di Aceh, selatan Thailand, selatan Filipina dan beberapa kelompok di Jawa.

 

 

REAKSI UMAT ISLAM

 

Kesan keseluruhan gerakan pelampau yang menggunakan label Islam ternyata telah mencemarkan hasrat damai dan sikap sederhana atau pertengahan umat Islam.  Para pemimpin Dunia Islam, menerusi Muktamar Islam, Liga Arab  dan pelbagai pertubuhan antarabangsa Islam telah mengutuk peristiwa 9/11 dan para ulama mengeluarkan fatwa membidas pembunuhan ke atas orang-orang yang tidak bersalah sebagai perbuatan kejam dan dikutuk Islam. Namun ianya sukar membersihkan cemar dan membetulkan kerosakan yang sudah berlaku.

 

Beberapa negara Islam telah melancarkan usaha memberkas gerakan pelampau. [Paling ketara ialah tindakan kerajaan Arab Saudi yang memecat ribuan pegawai masjid atau madrasah yang didapati mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap orang asing] .  Namun bukanlah mudah merubah imej yang telah terpalit oleh pengganasan.

 

Sekadar contoh, The Straits Times melaporkan (4 Jun 2003) bahawa Arab Saudi telah melancarkan kempen imej di Amerika. Ini kerana dalam 15 daripada 19 orang yang terlibat dalam peristiwa 9/11 adalah warga Saudi. Namun kecurigaan terhadap orang Arab dan warga Saudi terus menyelaputi minda warga  Amerika, terutama majoriti kulit putih.  Memanglah Islam itu bukan Arab dan tidak semua orang Arab beragama Islam.  Namun sebagaimana kata satu hadis bahawa Muslim bak sebuah tubuh. Satu bahagian sakit, maka bahagian lain tubuh akan sakit juga. Jadi dek kerana perbuatan ganas segelintir belia Arab beragama Islam, seluruh umat Islam kini terkait dalam soal pengganasan.

 

Memang terdapat pelbagai pandangan mengenai gelombang yang mengaitkan tuntutan Muslim untuk kemerdekaan dan hak bersuara di serata dunia sejak awal abad ke-20.  Leopold Stoddard dalam buku klasiknya, Pasang Surut Kulit Berwarna (edisi Indonesia), telah menjangkakan bahawa dalam abad ke-20, akan berlaku arus kemerdekaan di seluruh dunia. Ia menamatkan penjajahan Barat dan antara kuasa yang akan muncul ialah Islam.

 

 

PERSAINGAN DAN PERTEMBUNGAN

 

Pada mulanya pandangan Stoddard tampak terasing kerana ramalannya tidak menjadi. Ini kerana dunia moden menyaksikan dua perang dunia akibat ideologi dan pengembangan kuasa.

 

Dalam Perang Dunia Pertama (1914 -1918) dan Perang Dunia Kedua (1939 -1945), kuasa fasis (pertuanan bangsa) dari Jerman yang menjadi angkaranya.  Malah para pemikir mutakhir, terutama mahaguru Harvard, Samuel P Huntington telah menampilkan cetusan, ‘Pertembungan Peradaban’ (Clash of Civilisations) dalam majalah Amerika yang amat berpengaruh, Foreign Affairs (1993) dan kemudian dalam bentuk buku (1994). Huntington mendapati Barat akan dicabar oleh fahaman Confucianisme dan Islam.  Namun memandangkan kebanyakan titik masalah di dunia kini bertebaran di kawasan Islam – dari (Barat) Bosnia sehingga Xinjiang dan dari Chechnya sehingga Kashmir (selatan), maka pertembungan itu lebih menjurus kepada Islam lawan Barat.

 

Pemikiran Huntington dan sebagainya telah mempengaruhi pucuk pimpinan Amerika Syarikat, kuasa besar tunggal. 9/11 dianggap bak satu cabaran langsung ke atas kegagahannya. Presiden George W  Bush, Jr telah berikrar untuk menentang pengganasan habis-habisan. Beliau dilaporkan tersasul dengan menyebut “crusade” iaitu istilah Perang Salib ketika mengisytiharkan perang.  Sejak itu berlaku gelombang besar tuduhan yang menyifatkan pengganas itu Muslim atau Muslim itu pengganas. Malah Islam turut ditohmahkan sebagai ‘merestui’ keganasan.

 

Memandangkan pengaruh dan kuasa umat Islam amat terbatas ke atas  media antarabangsa, politik dan sosio-ekonomi dunia, memang sukar menentang tohmah tadi. Malah imej Muslim terjejas kerana dianggap tidak toleran kepada masyarakat dunia yang majoritinya bukan Islam.

 

[Umumnya, negara-negara majoriti Islam telah mengutuk pengganasan yang dikaitkan dengan Islam. Mereka menyelar perbuatan yang mengakibatkan peristiwa 9/11.]   Sesungguhnya kebanyakan umat Islam sedih kerana berlakunya  9/11. Malah para pemimpin, pertubuhan dan orang Islam turut serta dalam upacara memperingati mangsa 9/11. Namun imej pengganasan ke atas Islam akan mengambil masa lama untuk dikikis.  Mengapakah demikian?

 

 

RANGKAIAN PENGGANAS

 

Pertama-tama, 9/11 telah membongkar rangkaian al-Qaeda yang disyaki sebagai dalangnya. Ia mempunyai kaitan di seluruh dunia, termasuk dengan Jemaah Islamiah (JI) Asia Tenggara yang sebahagian para anggotanya telah diberkas oleh pihak keselamatan rantau ini.  [Kedua, peristiwa 9/11 tidak berakhir begitu saja, tetapi  merebak kepada siri pengeboman di beberapa bahagian dunia, terutama di kawasan penghimpunan warga Amerika, Israel atau Barat termasuk  di Nairobi, Kenya dan di Bali (12 Oktober 2002)] .  Ketiga, rangkaian pengganasan turut menjejas wadah utama Islam iaitu Arab Saudi dengan peristiwa pengeboman di kawasan berpagar tinggi di Riyadh (13 Mei 2003)  dan serangan di Masjidil Haram (16 Jun 2003).

 

Dengan perkembangan sedemikian, berlaku semacam dilema dan kekeliruan dalam diri umat Islam.  Ia diperburukkan lagi dengan keadaan perpecahan di kalangan ummah akibat perbezaan fahaman politik atau kebangsaan.  Namun yang jelas sebagaimana diutarakan oleh Rektor Al-Azhar Syeikh Tantawi bahawa jihad telah diselewengkan daripada tujuannya yang suci dan diberikan tempelan noda pengganasan. [Pencemaran ini pasti merugikan Islam dan umatnya kerana tujuan Islam ialah sebagai salam atau huluran damai untuk seluruh kemanusiaan.  Seandainya rangkaian pengganas yang dikaitkan dengan Muslim dibiarkan, ia pasti melemahkan perpaduan ummah, menurut Prof Quraish Syihab, mufassir dan pemikir Islam termasyhur dari Indonesia.  Tentulah umat Islam tertanya-tanya – untuk siapakah dan apakah erti perjuangan kumpulan-kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang ‘jihad’ jika natijah perbuatan mereka hanya membawa kepada kehancuran ummah sendiri.  Memang tidak wajar mempersoal keislaman golongan yang menganggap diri mereka sebagai ‘pejuang Islam’ atau Mujahid. Tetapi sirah mencatatkan bahawa sudah berlaku perebutan kuasa menurut jalur fahaman politik dan tiada kena mengena dengan Islam.]

 

Apabila kepentingan politik mengatasi kesucian agama, maka berlaku apa jua usaha untuk mengabsahkan (legitimise) hak untuk memimpin dan bertindak dengan memberi tafsiran serong terhadap Islam. Sejarawan Islam, Ibn Khaldun mencatatkan muslihat Muawiyah yang mengerahkan tentera mencacakkan lembaran Quran (ayat suci) di hujung pedang mereka demi untuk mengeliru dan mengalahkan tentera Sayidina Ali.

 

LANGKAH SELANJUTNYA

 

Menghadapi pengganasan kini merupakan agenda dunia selepas tamat Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union (atau antara Blok Barat dan Blok Komunis).  Malangnya pengganasan kini tidak lagi dilihat sebagai perbuatan golongan sekular seperti Tentera Republikan Ireland (IRA) yang menuntut tanah air mereka di Ireland Utara sejak 1960-an, atau gerila Basque di Sepanyol, Tentera Merah atau gerila Pembebasan Harimau Tamil Eelam sehinggalah gerakan pertuanan kulit putih, neo-Nazi di Jerman atau Ku Klux Klan di Amerika Syarikat.  Sebaliknya penonjolan media antarabangsa seolah-olah meletakkan umat Islamlah yang menjadi pendorong pengganasan. [Dari senarai lebih 100 badan pengganas terbitan Jabatan Negara Amerika, lebih tiga suku dikaitkan dengan Muslim.]

 

Meskipun menurut pakar pengganasan, Dr Rohan Gunaratne, bahawa fenomena pengganas Muslim rentas sempadan merupakan suatu yang baru, namun ia boleh meluas jika tidak diatasi segera.  Langkah utama ialah menerusi masyarakat Islam sendiri untuk membetulkan salah penafsiran mengenai pengganasan.  Ketua Universiti Al-Azhar yang dianggap ulama paling disegani bagi majoriti umat Islam, Syeikh Mohammad Tantawi, telah menyeru agar salah penafsiran mengenai jihad segera diperbetulkan, ajaran Islam diajar dengan lebih sempurna dan tersusun serta dialog antara agama diperluaskan. Langkah ini merupakan strategi gawat sebelum jihad yang terpesong menjejas masa depan umat Islam dalam jangka panjang.

 

Singapura merupakan antara segelintir negara yang segera melancarkan langkah sedemikian demi memperteguh keharmonian. Para pemimpin Islam Singapura tangkas dalam menyampaikan rasa kesal terhadap peristiwa 9/11 dan turut menghadiri upacara mengenang para korban di sini.  Apabila kehadiran JI diumumkan, para pemimpin Islam menyatakan rasa kesal dan memeterai ikrar untuk menyokong usaha pemerintah dalam mengekang unsur subversif yang boleh menjejas keharmonian kaum.  Malah dengan kerjasama pemerintah dan masyarakat Singapura, maka tertubuhlah gerakan kumpulan keyakinan antara agama (IRCC) dan kumpulan harmoni. Antara lain dialog antara agama dan lawatan ke masjid atau rumah ibadah telah diadakan.

 

Namun bak kata Dr Ahmad Zaki Badawi, tokoh Islam terkemuka Britain, usaha menangani penyelewengan ajaran Islam seperti pengganasan, akan mengambil masa lama.  Tambahnya, ia memerlukan pembetulan penafsiran mengenai jihad, dakwah dan tentulah peningkatan kemajuan umat Islam dari segi ilmu dan taraf hidup. Ia juga menuntut kerjasama bukan Islam agar krisis ini tidak menjadi satu pertembungan fahaman yang merugikan seluruh kemanusiaan.

 

gallery

cal

newspaper