Berita Harian
Sabtu, 13 September 2008
PM HARGAI RRG TANGANI IDEOLOGI PELAMPAU
Luah terima kasih dan puji pencapaian sepanjang lima tahun
Oleh Shamsul Jangarodin
SINGAPURA bernasib baik kerana memiliki pemimpin agama dan asatizah yang berani tampil untuk menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan sama-sama mendidik masyarakat menentang ideologi pelampau. Demikian kata-kata aluan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang dipetik daripada buku bertajuk Winning Hearts & Minds, Embracing Peace.
Buku tersebut diterbitkan untuk memperingati usaha lima tahun RRG. Ia dilancarkan di Masjid Khadijah kelmarin. Dalam buku tersebut, Encik Lee turut meluahkan rasa terima kasihnya kepada anggota RRG dan memuji usaha dan pencapaian RRG dalam memerangi terorisme dan ideologi pelampau.
'Ini merupakan tugas yang hanya mampu dilakukan cendekiawan Islam dan asatizah. Dan dengan inisiatif dan ikhtiar para pemimpin Islam kita, kita telah berjaya maju di hadapan orang lain. 'Kini RRG telah berkembang dari segi kepercayaan dan pendekatan dan mereka juga telah meningkatkan usaha melibatkan masyarakat di masjid dan forum-forum awam. 'Tugas mereka masih dianggap penting, malah lebih penting di masa hadapan dengan meningkatnya ancaman radikal secara sendirian,' ujar Encik Lee.
RRG ditubuhkan pada 2003 menyusuli penangkapan sekumpulan Muslim warga Singapura yang merupakan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI).
Tujuan utamanya ialah untuk menyediakan kaunseling kepada para tahanan JI tersebut.
Dalam kata-kata pembukaan buku setebal 160 halaman itu, Encik Lee mencatatkan rasa gembiranya apabila Ustaz Haji Ali Haji Mohamed dan Ustaz Hasbi Hassan tampil secara sukarela untuk menubuhkan RRG.
'Ia (Penubuhan RRG) merupakan satu peristiwa penting dalam respons Singapura terhadap ancaman terorisme,' kata Encik Lee. 'Para anggota RRG memahami tujuan murni mereka dan hati mereka ikhlas melakukannya. 'Mereka tahu dengan menyangkal ajaran Islam yang menyeleweng yang disebarkan para pengganas ini, ia bukan sahaja mampu membantu para tahanan malah masyarakat Islam secara am dan memupuk keharmonian kaum di Singapura,' kata beliau.
|