PERPADUAN KAUM BANTU S'PURA TANGANI PENGGANAS
MM Lee: Ia kelebihan yang tidak dinikmati di negara lain yang alami masalah serupa
PERPADUAN masyarakat Islam dengan masyarakat umum Singapura adalah satu kelebihan yang dinikmati negara ini dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemimpin dan anggota masyarakat dalam menangani ancaman pengganasan dan penularan ideologi agama yang melampau dan menyeleweng.
Ia berjaya membuat masyarakat Islam setempat sedar bahawa masalah pengganasan bukan masalah pemerintah saja bahkan masalah sosial.
Demikian pandangan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, dalam wawancara khas yang terkandung dalam buku Winning Hearts & Minds, Embracing Peace terbitan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
'Perbezaan utama antara kita dengan mereka, seperti Britain, Perancis, Jerman dan Belanda, ialah mereka masih belum dapat menyepadukan masyarakat Islam mereka. (Di Singapura) Kita tinggal dalam masyarakat sama, tinggal di blok sama, pergi ke sekolah sama, ke pasar sama dan bermain di padang sama.
'Semua orang tahu, jika kita hancurkan periuk nasi ini, semua akan sengsara,' ujar Encik Lee.
RRG dibentuk pada 2003 hasil inisiatif beberapa asatizah yang menyedari kemahiran mereka diperlukan untuk membanteras fahaman salah Islam dan menangani isu pengganasan berlandas agama, menyusuli penangkapan 32 anggota rangkaian pengganasan Jemaah Islamiyah (JI) di sini.
Dalam wawancara itu, Encik Lee menekankan tanpa ikatan kukuh antara masyarakat, masyarakat Islam dan asatizah di sini tidak mungkin berasa mereka sebahagian daripada masyarakat Singapura atau hidup mereka boleh terjejas akibat ancaman pengganas, dan mereka akan mengatakan ancaman itu adalah masalah yang harus diatasi pemerintah saja.
'Para pengganas ini didorong fahaman agama berdasarkan salah tafsir Al-Quran yang diajarkan guru mereka atau dibaca daripada Internet.
'Oleh itu, kita perlu asatizah ini, yang mampu bercakap secara berpengaruh untuk melawannya (dengan mengemukakan ajaran sebenar Islam),' kata Encik Lee.
Menurut beliau, mengurung tahanan JI bukan huraian bagi masalah itu, sebaliknya mereka harus dijadikan individu Muslim yang dapat hidup secara normal.
'Ternyata langkah ini menunjukkan hasil kerana di akhir beberapa bulan atau bagi sesetengah kes, beberapa tahun, 26 tahanan telah dapat dibebaskan kerana telah menjalani pemulihan.
'Asatizah itu memberi kaunseling bukan saja kepada para tahanan tersebut bahkan keluarga mereka juga,' kata Encik Lee. |